KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi tumpuan khas terhadap 15 kawasan panas sepanjang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, susulan jangkaan peningkatan aktiviti politik serta potensi provokasi.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, penilaian awal mendapati beberapa lokasi di sekitar Kota Kinabalu dan pantai timur Sabah diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko berdasarkan rekod sejarah, kepadatan pengundi, faktor geopolitik serta penglibatan kumpulan tertentu termasuk NGO yang aktif.
Menurutnya, hampir 9,300 pegawai dan anggota keselamatan dikerah di seluruh negeri bagi memastikan PRU Sabah Ke-17 berjalan lancar, termasuk 4,300 anggota yang akan bertugas khusus pada Hari Penamaan Calon esok di 25 pusat pencalonan.
“Penugasan kali ini membabitkan pelbagai elemen termasuk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta unit kawalan khas.
“Kita mahu memastikan proses PRU Sabah Ke-17 berjalan teratur sebelum, semasa dan selepas pengundian. Berdasarkan analisis, sekurang-kurangnya 15 kawasan dikenal pasti memerlukan pemantauan rapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perjumpaan bersama petugas PDRM PRU Sabah Ke-17 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, pada Jumaat.
Beliau berkata, polis komited memantau setiap perkembangan politik sepanjang PRU Sabah dan bertindak segera jika berlaku sebarang risiko yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Pergerakan pasukan pemantau akan digerakkan secara berterusan di kawasan kritikal dan lokasi tumpuan orang ramai.
“Sabah sudah menikmati suasana aman sejak sekian lama dan kita mahu ia kekal begitu,” katanya.
Mohd Khalid berkata, pemantauan keselamatan akan dilakukan sejak hari pertama kempen sehingga selepas keputusan diumumkan, termasuk pengurusan aliran trafik di kawasan panas bagi mengelak kesesakan luar biasa.
Beliau turut memaklumkan lawatan pemeriksaan akan dilakukan ke beberapa lokasi di Pantai Timur seperti Tawau sebagai persediaan akhir sebelum penamaan calon.
“Unit seperti Light Strike Force (LSF) dan Public Order Riot Unit (PORU) juga bersiap siaga sekiranya diperlukan untuk mengawal keadaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan 1,200 anggota dari Sarawak turut bersedia digerakkan ke Sabah mengikut keperluan semasa dan penilaian risiko oleh Polis Kontinjen Sabah.
Mohd Khalid turut menasihatkan penyokong parti serta orang ramai agar mematuhi arahan petugas keselamatan demi kelancaran proses demokrasi negeri itu.
“Persiapan turut mengambil kira faktor monsun timur laut yang dijangka tiba tidak lama lagi, yang memerlukan tambahan logistik dan kesiapsiagaan pasukan keselamatan.
“Saya mengingatkan semua parti, penyokong dan NGO agar mengelak provokasi serta kenyataan perkauman. Keamanan Sabah perlu dipertahankan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
