
TAWAU : Mahkamah Tinggi Tawau hari ini memutuskan 13 pelajar lelaki Kolej Vokasional Lahad Datu bersalah membunuh rakan mereka, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, dalam kejadian di asrama kolej berkenaan tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Duncan Sikodol selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh yang berusia antara 16 hingga 19 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abdul Latif bersama TPR Ng Jhun Tao, manakala pegawai penyiasat kes ,ASP Suddin Tjinke KBSJD IPD Lahad Datu.
Kesemua tertuduh diwakili beberapa firma guaman termasuk Ram Singh Harbans & Co, LCZ Law Firm (Sandakan), Johari, Zelika & Amin (Tawau), Vivian Thien & Associates, Kang Advocates, Kusni & Komariah, serta Chang & Kamarudin.
Mahkamah menangguhkan hukuman sehingga 28 Ogos depan sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengikut pertuduhan, kesemua pelajar itu didakwa bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu antara jam 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sepanjang hayat jika sabit kesalahan.