
SEMPORNA : Seramai 11 lelaki pendatang tanpa izin (PTI) melibatkan warganegara Pakistan ditahan selepas dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan sah dalam Operasi Sapu di sini semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua ditahan selepas dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki pas atau permit sah.
Katanya, selain itu mereka juga didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Semua individu ini ditahan kemudiannya dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Tawau untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati mereka yang ditahan mendakwa mempunyai pas jaminan pasangan kepada warganegara manakala seorang lagi mendakwa memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk bekerja di Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sitti Saleha berkata, selepas siasatan lanjut dijalanka kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan dan ditahan bagi tujuan siasatan lanjut.
“Kita akan terus melaksanakan operasi bagi membanteras kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
“Orang awam juga diseru untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan PATI atau mana-mana premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah agar tindakan dapat diambil,” jelas Sitti Saleha.