
KOTA KINABALU: Seorang maut manakala 10 lagi mangsa terselamat dalam kejadian tanah runtuh yang menghempap sebuah rumah di Bukit Cendera Kasih, Kampung Cendera Kasih, di sini, pagi tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.02 pagi selepas panggilan kecemasan diterima melalui talian MERS999 sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Lintas bersama unit K9 digerakkan ke lokasi.
Jentera pertama tiba pada jam 10.24 pagi dengan kekuatan 18 anggota termasuk Unit K9 bersama beberapa kenderaan penyelamat. Pasukan penyelamat kemudian mendapati terdapat 11 mangsa terlibat dalam insiden berkenaan.
Daripada jumlah itu, empat berjaya keluar dengan selamat manakala seorang mangsa ditemukan maut dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Komander Operasi, PBK I Wilfred Sulai, berkata operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan bagi memastikan keselamatan mangsa lain yang dipercayai masih berada di kawasan kejadian.
Operasi turut mendapat bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai 10 anggota, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiga anggota dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) empat anggota.
Setakat ini, operasi masih diteruskan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.