LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command ESSCOM meneruskan usaha memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan melalui penganjuran Latihan Bersama Medical First Responder MFR dengan kerjasama Special Operation Forces Liaison Element SOFLE dan Civil Military Support Element CSME dari Kedutaan Amerika Syarikat.
Program yang berlangsung dari 1 hingga 5 Disember 2025 itu melibatkan 33 pegawai dan anggota ESSCOM, dibimbing fasilitator SOFLE dan CSME di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 4 di sini.
Majlis penutup disempurnakan wakil Komander ESSCOM Brig Jen Mohamad Ismail Kamarudin bersama Penasihat Pertahanan Kedutaan Amerika Syarikat Captain Pasit Somboon. Turut hadir wakil agensi keselamatan termasuk Pasukan Polis Marin, PGA, APMM, JBPM, ATM selain Hospital Lahad Datu dan St John Ambulans Malaysia.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, ESSCOM menjelaskan latihan ini memberi penekanan kepada pengendalian risiko kecemasan di lapangan, khususnya situasi bencana dan insiden kemanusiaan yang memerlukan tindakan pantas berasaskan prosedur yang tepat. Latihan turut menambah baik penyelarasan operasi antara ESSCOM dan agensi yang berperanan di Zon Selamat Timur ESSZone.
ESSCOM menyatakan program sebegini menggambarkan kesungguhan kedua-dua negara memperkukuh kerjasama keselamatan serantau secara berterusan.
Latihan lima hari itu dinilai berjalan lancar mengikut terma rujukan yang dipersetujui bersama, sekali gus mencapai objektif peningkatan kompetensi peserta dan pengukuhan hubungan dua hala Malaysia Amerika Syarikat dalam aspek keselamatan.
