TAWAU: Seorang pemandu lori berusia 58 tahun meninggal dunia selepas kenderaan 10 tan yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan dalam kejadian di Jalan Sri Apas tengah hari tadi.
Insiden sekitar jam 12 tengah hari itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu, sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba yang tiba beberapa minit kemudian.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah memaklumkan panggilan kecemasan diterima pada jam 12.37 tengah hari melalui talian NG999. Susulan itu, satu jentera FRT bersama lima anggota serta unit EMRS dengan dua anggota dari Balai Bomba Tawau digerakkan ke lokasi sejauh 23 kilometer dan tiba pada jam 12.58 tengah hari.
Menurut Komander Operasi PBK I Jehrey Ibno, pasukan penyelamat mendapati lori berkenaan terbabas sendiri dan pemandunya tersepit. Peralatan khas digunakan bagi proses mengeluarkan mangsa yang kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan KKM.
Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.04 petang.
