UMS diminta siasat punca kekurangan bekalan air: Hajiji

UMS diminta siasat punca kekurangan bekalan air: Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menggesa pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menyiasat punca berlaku kekurangan bekalan air yang disalurkan dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) ke kampus induk itu.

Beliau berkata, ini memandangkan sejak beberapa bulan lalu, pihaknya difahamkan bekalan air ke universiti tersebut adalah mencukupi untuk menampung keperluan kakitangan dan pelajar khususnya yang tinggal dalam kolej-kolej kediaman.

“Sebenarnya, dalam dua bulan kebelakangan ini, bekalan air ke UMS adalah mencukupi dengan rekod daripada pihak JANS setiap hari kecuali beberapa hari lalu, ada dua atau tiga hari kerana insiden paip pecah…itu sahaja, sekarang sudah selesai.

“Jadi bekalan itu akan diteruskan oleh pihak JANS sebagai tambahan, telaga tiub atau tubewell di UMS yang boleh membekalkan kira-kira 1 juta liter sehari sudah ada di universiti berkenaan.

“Bagaimanapun, saya telah meminta pihak UMS untuk menyiasat punca kekurangan bekalan air, mungkin ada paip besar pecah dan sebagainya, ” katanya kepada media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) Bagi Pelaburan Baharu Syarikat Kumpulan Kiting di SBH Kibing Solar Glass Factory, di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu bekalan air yang terjejas di UMS baru-baru ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dalam satu lawatan di UMS baru-baru ini mendedahkan enam telaga tiub dibina di UMS menggunakan dana RM3 juta yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu di mana ianya sudah siap sepenuhnya.

Beliau menjelaskan, telaga tiub yang siap dibina itu akan menjadi alternatif sekiranya berlaku gangguan bekalan air dari jabatan air dan kesemua telaga tiub yang siap menerusi pelaksanaan fasa satu dan dua itu kini dalam proses percubaan.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|