Sabah ambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu

Sabah ambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dengan kerajaan negeri mengambil alih kuasa kawal selia ke atas bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu, ini akan memudahkan pelan mantap bagi bekalan tenaga stabil di Sabah.

“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri melalui penyediaan bekalan tenaga yang mencukupi, stabil, berpatutan dan mapan seperti dalam Pelan Induk Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan dilancarkan pada September tahun lalu bagi menyokong pelan hala tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri melalui ECoS akan memastikan proses pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dilaksanakan secara berkesan dan teratur tanpa sebarang gangguan kepada pihak pemegang taruh dalam industri bekalan elektrik di negeri ini.

Beliau berkata inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada penurunan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dewan Undangan Negeri telah meluluskan tiga Rang Undang-Undang dalam sidang khas hari ini yang memberi ruang kepada Sabah untuk secara rasmi mengambil alih kuasa mengawal selia sektor bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada Kerajaan Persekutuan.

Ini membabitkan Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik 2024; Tenaga Boleh Baharu 2024 dan Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024.

Selepas pewartaan enakmen itu, ECoS akan menjadi badan berkuasa yang mengawal selia sektor bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu di Sabah berkuat kuasa serta-merta.

ECoS telah pun memperoleh kuasa kawal selia ke atas sektor bekalan gas daratan sejak 10 Januari tahun lalu.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|