RDC Sandakan mampu lonjak inovasi, teknologi setempat

RDC Sandakan mampu lonjak inovasi, teknologi setempat

SANDAKAN: Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah berjaya menganjurkan Majlis Perasmian Ruang Daya Cipta (RDC) Sandakan, Sabah dan Sesi Penyerahan Produk Inovasi di bawah Geran Program Yayasan Inovasi Malaysia.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Datuk Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.


Ruang Daya Cipta (RDC) adalah salah satu inisiatif MOSTI yang dilaksanakan untuk memberi peluang kepada komuniti di Malaysia mendapatkan akses kepada peralatan Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI).

RDC bertujuan untuk memudahkan penggunaan peralatan seperti pencetak 3D, robotik, drone, dan lain-lain secara praktikal.

RDC juga menyediakan Studio Digital, Makmal Reka Bentuk, dan Makmal Komputer untuk mencetuskan idea dan inovasi, serta menghasilkan produk yang boleh dipasarkan.


Setakat ini, YIM telah membangunkan 16 RDC di seluruh Malaysia. RDC di Sandakan, Sabah mula beroperasi pada Februari 2023 dan merupakan lokasi pertama yang dibangunkan di negeri Sabah.

RDC Sandakan dilengkapi dengan peralatan dan aplikasi teknologi Sains, Teknologi, Inovasi, dan Ekonomi (STIE) seperti komputer, mesin percetakan 3D, set studio digital dan lain-lain.


Objektif utama majlis ini adalah untuk memberi pengetahuan kepada masyarakat mengenai inisiatif penting MOSTI dalam meningkatkan kapasiti sains, teknologi, inovasi, dan ekonomi negara melalui Program Penyelidikan dan Pembangunan (RDC).

Diharapkan Program RDC ini dapat membantu masyarakat memahami peranan serta sumbangan bidang sains dan teknologi dalam memajukan ekonomi negara.


MOSTI percaya pelaksanaan RDC dapat mewujudkan kesan berganda dengan sains, teknologi, dan inovasi sebagai pemangkin ekonomi negara.

Inisiatif ini juga membuka peluang kepada golongan B40 dan M40 untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti kehidupan, serta mengukuhkan ekonomi komuniti setempat.

Pelaksanaan RDC ini selaras dengan Dasar Sains, Teknologi, dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 dan Rangka Kerja 10-10 Malaysian Science, Technology, Innovation and Economy (MySTIE).


Dengan komitmen tinggi daripada YIM dan kerjasama pelbagai pihak termasuk komuniti di sekitar RDC@PPR Sungai Manila, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, serta Majlis Perbandaran Sandakan, diharapkan RDC Sandakan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya.


Majlis ini juga menyaksikan Sesi Penyerahan Produk Inovasi di bawah Geran Program Yayasan Inovasi Malaysia, dengan harapan inisiatif ini akan menyemarakkan lagi budaya Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di kalangan masyarakat setempat.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|