Guna saluran betul jika mahu bekerja di luar negara: Mohamad

Guna saluran betul jika mahu bekerja di luar negara: Mohamad

KIMANIS: Kementerian Luar menasihatkan rakyat di negara ini mengikuti saluran yang tepat sekiranya melahirkan hasrat untuk berkerja di luar negara supaya mengelak menjadi mangsa ‘job scam’.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, terdapat banyak kes melibatkan warga negara ini yang dikenalpasti terjebak dengan kesalahan atau mangsa ‘job scam’ berkenaan dengan menyalahgunakan pasport antarabangsa dimiliki selain terperdaya dengan tawaran berkerja berunsur penipuan.

Beliau menjelaskan, terbaru, terdapat sekumpulan individu rakyat Malaysia di Vietnam dikenalpasti ditahan oleh pihak berkuasa negara itu kerana didapati berkerja tanpa permit pekerja yang sah dan dipercayai datang ke sana dengan menggunakan pasport pelancong.

“Dalam kes di Vietnam baru-baru ini bukan melibatkan job scam, kes di Vietnam ini adalah kes melibatkan rakyat Malaysia yang menggunakan pasport pelancong tetapi mereka berkerja dan telah didapati menyalahi pasport pelancong.

“Tempat mereka berkerja itu bukanlah tempat sindiket, kita telah selidik itu adalah syarikat yang betul dan pekerjaan mereka adalah pekerjaan yang betul tidak melibatkan job scam,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri malam sambutan Aidilfitri Kaamatan Peringkat Parlimen Kimanis, di Kimanis, pada Sabtu.

Mohamad berkata, Wisma Putra telah menghubungi pihak yang berkaitan di Vietnam untuk membawa pulang warga Malaysia itu yang terlibat itu dari semasa ke semasa.

Sementara itu, beliau berkata, setakat ini, pihaknya telah mengesan sekurang-kurangnya 28 individu di Kemboja, 109 di Myanmar, Laos (35) dan Thailand (16) terdiri warganegara Malaysia yang dipercayai telah terjebak dengan aktiviti jobscam.

Sehubungan itu katanya, Wisma Putra telah mengadakan satu isentif untuk menubuhkan satu pasukan khas yang turut melibatkan pihak Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyelesaikan kes-kes berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Ada ketikanya kita menerbangkan mereka (taskforce) ini ke negara-negara terlibat untuk berunding dan membawa pulang rakyat kita yang terlibat.

“Kita menerima kerjasama yang cukup baik daripada negara-negara ini seperti Myanmar termasuklah dalam kejadian baru-baru ini,” katanya.

Jelas beliau lagi, pihak kementerian dalam pada itu meminta rakyat Malaysia supaya tidak mudah terperdaya dengan mana-mana tawaran tidak masuk akal untuk berkerja di luar negara tanpa mengikut saluran yang betul.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|