Enspek Subsea Sabah, syarikat pertama Sabah meterai MoU operasi dasar laut minyak dan gas

Enspek Subsea Sabah, syarikat pertama Sabah meterai MoU operasi dasar laut minyak dan gas

KOTA KINABALU: Sabah bakal terbabit dalam operasi minyak dan gas di dasar laut menerusi pembabitan syarikat pertama milik anak tempatan negeri ini, Enspek Subsea Sabah untuk melaksanakan operasi di dasar laut.

Syarikat berkenaan menjalankan operasi pemeriksaan dan penyediaan perkhidmatan peralatan bagi meningkatkan keupayaan dan keberkesanan operasi dasar laut dalam industri minyak dan gas Sabah.

Pembabitan syarikat itu dalam operasi berkenaan dimeterai menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandangani dengan Enspek Offshore Asia.

Majlis menandatangani MoU itu diadakan selepas perasmian Pameran dan Persidangan Minyak, Gas dan Tenaga Sabah (SOGCE) Ke-11, 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Pengarah Eksekutif Enspek Subsea, Datuk Azhar Khan menandatangani MoU bagi pihak syarikatnya, manakala Pengarah Eksekutif Offshore Asia, Nor Hisham mewakili Enspek Offshore dengan disaksikan Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Menerusi MoU itu, kedua-dua syarikat akan bekerjasama menyediakan Perkhidmatan Pemeriksaan Dasar Laut secara menyeluruh untuk industri minyak dan gas Sabah.

Azhar berkata, MoU itu menandakan permulaan rakan strategik ke arah meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan dan inovasi di wilayah operasi dasar laut.

Katanya, kolaborasi kedua-dua pihak merangkumkan kepakaran khas dasar laut Enspek Offshore Asia dengan kefahaman mendalam landskap minyak dan gas wilayah yang dimiliki Enspek Subsea Sabah.

“Secara bersama, kedua-dua pihak akan menyampaikan penyelesaian teknologi terkini dan perkhidmatan menyeluruh, termasuk Perkhidmatan Pemeriksaan Dasar Laut yang menggunakan teknologi terkini untuk memastikan integriti dan kebolehpercayaan struktur dasar laut,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua syarikat juga menyediakan Perkhidmatan Pembaikan dan Penyelenggaraan dengan menyediakan penyelesaian berkesan dan mengikut masa bagi meminimumkan penghentian masa dan memanjangkan jangka hayat aset dasar laut.

Selain itu, katanya mereka juga menyediakan Sokongan Teknikal dan Kejuruteraan dengan menawarkan bimbingan pakar dan penyelesaian inovatif terhadap cabaran dasar laut yang kompleks.

Pada masa yang sama, jelasnya mereka juga melaksanakan Latihan dan Pembinaan Kapasiti bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja tempatan bagi menyokong pertumbuhan industri dalam jangka masa panjang.

“Kolaborasi ini dijangka mengukuhkan keupayaan operasi dasar laut secara signifikan dan berkesan dalam industri minyak dan gas Sabah, sekali gus menjadi penanda aras kualiti dan inovasi dalam sektor ini,” katanya.

Azhar berkata Enspek Subsea Sabah teruja untuk bekerjasama dengan Enspek Offshore Asia bagi membawa keupayaan pemeriksaan dasar laut ke dalam industri minyak dan gas Sabah.

“Kerjasama ini menekankan komitmen kami terhadap keselamatan, inovasi dan kecemerlangan operasi,” katanya.

Sementara itu, Nor berkata MoU berkenaan mewakili langkah ke hadapan yang signifikan dalam misi syarikatnya untuk menyokong industri minyak dan gas Sabah.

“Dengan merangkumkan sumber dan kepakaran kami, kita menyasarkan untuk menetapkan satu piawaian dalam perkhidmatan dasar laut dan menyumbang untuk kelestarian pembangunan di rantau ini,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|