Yang di-Pertua Negeri Sabah santuni kanak-kanak istimewa

Yang di-Pertua Negeri Sabah santuni kanak-kanak istimewa

Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menyantuni seramai 140 kanak-kanak termasuk pengiring dalam satu Majlis Jamuan Teh Bersama Kanak-Kanak Istimewa dan Anak Yatim sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-70 di Sandakan, pada Rabu.

Pada majlis itu, Tun Juhar berkenan menyampaikan bantuan kewangan RM1,000 daripada Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Rasmi kepada 11 institusi kebajikan.

Penerima bantuan terdiri daripada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Indah Jaya, PPDK Gum-Gum, PPDK Sinar Wawasan Kinabatangan dan Pusat Jagaan dan Latihan Kemahiran Bagi Orang Buta Sabah Kompleks Penyayang Taman Cahaya Sandakan.

Turut menerima sumbangan berkenaan, Program Pendidikan Khas dan Integrasi (PPKI) SMK Muhibbah, Program Pendidikan Khas SK Muhibbah, Program Pendidikan Khas SK Bukit Garam Kinabatangan, Persatuan Orang Pekak Sandakan, Sabah Chesire Home and Service Sandakan, Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim / Miskin Al-Yakin Sandakan serta Pusat Jagaan Rumah Amal Selawat Nabi Sandakan.

Dalam majlis itu, Tun Juhar juga menyampaikan sumbangan RM10,000 masing-masing kepada lima buah sekolah terpilih di Sabah daripada Konsul Republik China di Kota Kinabalu, Huang Shifang dan Yayasan Nur Jauhar bagi menyediakan kelengkapan pusat sumber sekolah.

Ia terdiri SK Magandai Kota Marudu, SK Bawang Beluran, SK Pekan Pensiangan, SK Gusi Ranau dan SJK (C) Sin Boon Sindumin.

Majlis diserikan beberapa persembahan oleh para pelajar sekolah rendah dan kanak-kanak kurang upaya, sambil menerima buah tangan yang disampaikan isteri TYT iaitu Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|