WARISAN, UMNO Sabah gandingan baharu hadapi PRN Sabah?

WARISAN, UMNO Sabah gandingan baharu hadapi PRN Sabah?

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) ini membayangkan akan berkerjasama rapat dengan UMNO Sabah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan pihaknya menyambut baik untuk kelangsungan landasan rakyat Sabah.

“Apabila bincang dengan Datuk Bung, beliau okay dan kita bina kerjasama untuk landasan rakyat dan negeri Sabah.

“Maka dengan itu di antara (tawaran kerjasama) dengan rakan lain, parti tempatan lain tetapi mereka menolak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perhimpunan Agung Tahunan Warisan di Kota Kinabalu, hari ini.

Untuk rekod, PAT Warisan tersebut turut dihadiri oleh beberapa barisan pimpinan UMNO Sabah yang diketuai oleh Bung Moktar.

Terdahulu, dalam sidang media selepas itu, Mohd Shafie pada masa sama turut mendedahkan stigma dalam kerjasama dengan parti berasaskan dari Semenanjung akan menjejaskan sokongan daripada penyokong tempatan tidak akan berlaku asalkan ahli politik yang dimaksudkan merupakan orang asal.

“Bung Moktar orang Sabah, orang Kinabatangan kalau sekiranya itu yang saya nyatakan kepada beliau kita kerjasama seperti di Sarawak.

“Mereka pun bekerjasama dengan Pakatan Harapan di Semenanjung tapi peringkat negeri menjadi pembangkang dan tiada kerjasama di peringkat negeri,” katanya.

Sementara itu, memetik kepada laporan Sinar Harian, Bung Moktar ketika ditemui selepas PAT terbabit menjelaskan kehadiran beliau atas jemputan rasmi.

Ditanya mengenai kerjasama berkenaan, beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan gandingan UMNO Sabah dan Warisan tersebut direalisasikan.

“Tetapi secara rasminya belum ada, bila belum tahu.

“Saya di sini atas jemputan rasmi Presiden WARISAN dan bagi saya tidak salah memandangkan WARISAN juga sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan,” tegasnya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|