Perkasakan ekonomi penduduk kampung: Raime

Perkasakan ekonomi penduduk kampung: Raime

Tenom: Memperkasakan ekonomi penduduk kampung perlu dijadikan keutamaan kerajaan hari ini dalam membangunkan negeri.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Di Lantik, Datuk Raime Unggi berkata, penumpuan pemerkasaan tersebut dilihat mampu mengubah realiti kehidupan masyarakat kampung yang semakin terkesan dengan cabaran ekonomi masa kini.

Jelasnya, semua pihak juga diminta mengurangkan ‘suhu politik’ dan memberikan fokus kepada membantu rakyat, terutamanya masyarakat di kawasan pedalaman yang kebanyakkan bekerja sendiri seperti pekebun, penoreh getah dan petani.

“Baik daripada pembangkang ataupun kerajaan, kurang-kurangkanlah berpolitik dan mari kita tumpukan untuk bangunkan masyarakat yang kita wakili kerana mereka perlukan kita memperjuangkan masalah mereka,”…ADUN Di Lantik, Datuk Raime Unggi.

“Saya memberi cadangan kepada kerajaan supaya memperbanyakkan lagi program-program membantu masyarakat dan penduduk kampung di kawasan pedalaman ini.

“Kerajaan dibawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor juga diharapkan lebih menyantuni masyarakat ini kerana mereka kini amat terkesan dengan faktor ekonomi seperti harga barang mentah melambung, harga makanan naik dan sebagainya.

“Saya pada masa yang sama, baik daripada pembangkang ataupun kerajaan, kurang-kurangkanlah berpolitik dan mari kita tumpukan untuk bangunkan masyarakat yang kita wakili kerana mereka perlukan kita memperjuangkan masalah mereka, ” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Seikhlas Kasih Rumahku Keluargaku anjuran Pergerakan Wanita UMNO Tenom, di sini, semalam.

Sementara itu, Raime yang juga Ketua Bahagian UMNO Tenom berkata, dinamika politik di Sabah perlu diserasikan dengan kehendak rakyat menerusi pendekatan membantu rakyat, bukannya berpolitik sepanjang masa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|