Kerjasama UMNO, Warisan diibarat makan diri

Kerjasama UMNO, Warisan diibarat makan diri

KOTA KINABALU: Presiden Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah mendedahkan hasrat kerjasama antara WARISAN dan UMNO Sabah bergabung dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang sebagai salah satu gabungan makan diri.

Jelasnya, biarpun belum ada sebarang ikatan rasmi, beliau melihat akar umbi kedua-dua parti itu di Sabah seakan bingung dengan kewujudan kerjasama terbabit.

Ini ditambah dengan khabar bahawa belum ada sebarang kata putus daripada pihak pimpinan UMNO pusat yang memberi laluan kepada UMNO Sabah untuk berbuat demikian.

“Saya memerhati rapat akan perkara yang diumum dan dibincang dalam Perhimpunan Agung Warisan pada hari ini dimana banyak laporan media menghebahkan mengenai kerjasama antara WARISAN dan UMNO Sabah.

“Kita amati bahawa ia seolah gabungan makan diri dan tidak mendapat feedback yang positif daripada kalangan akar umbi mereka.

“Mana kan tidak, waktu pilihan raya dahulu apabila UMNO itu bersama-sama GRS yang ditentang adalah WARISAN dan WARISAN juga memang terkenal dengan parti yang amat menentang keras UMNO Sabah.

“Ada kalanya mereka ini terlupa kerana hasrat untuk menumbangkan kerajaan sahaja yang bermain di fikiran mereka dengan sanggup memberikan apa sahaja ruang untuk mengadakan pakatan demi hajat mereka tercapai, ” katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Najib Tay berkata, beliau pada masa yang sama terkilan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dalam ucapan dasarnya turut mengaitkan kerajaan dibawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah sebagai sebuah kerajaan gagal.

“Secara peribadi saya kagum dengan keupayaan beliau yang petah berkata-kata apatah lagi apabila berada di pentas politik namun apabila menuduh kerajaan sedia sekarang ini gagal, ia adalah menyedihkan.

“Kenapa perlu mengaitkan sesuatu perkara yang beliau sendiri tidak yakin dengan mana sumbernya seperti mengaitkan hal-hal berkaitan masalah air, masalah bekalan elektrik dan masalah infrastruktur di Sabah ini sedangkan beliau sendiri pernah menjawat jawatan penting sebagai Menteri Kemajuan Wilayah di peringkat pusat.

“Bahkan beliau juga mempunyai peluang besar menunjukkan taringnya untuk mengatasi permasalahan-permasalahan ini ketika menjadi Ketua Menteri Sabah selama 20 bulan, kenapa waktu itu tidak tunjukkan prestasi sebenar?..,” katanya.

Menurut beliau lagi, Mohd Shafie nampaknya jelas membelakangkan pesanan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta agar ahli-ahli politik di Sabah tidak memainkan sentimen rakyat dalam mempersoalkan isu-isu melibatkan masalah infra dan pembangunan di negeri ini.

“Oleh yang demikian, ucapan-ucapan beliau hanyalah sekadar retorik politik sahaja yang sengaja memainkan sentimen rakyat dan bukankah Perdana Menteri dalam kunjungannya ke Sabah baru-baru ini telah menegur sikap yang sedemikian.

“Malah dalam ucapan Perdana Menteri lagi, Kerajaan Persekutuan amat berpuas hati dengan prestasi semasa Kerajaan Negeri dalam soal pembangunan jadi kenapa perlu persoalkan lagi?…, ” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|