Keahlian UMNO Shahelmey digantung enam tahun

Keahlian UMNO Shahelmey digantung enam tahun

Sandakan: Tanda tanya mengenai status keahlian UMNO bagi Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya akhirnya terjawab apabila beliau digantung keahlian dalam parti.

Memetik laporan Astro Awani, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengesahkan perkara itu berkata, pengantungan itu adalah selama enam tahun.

“Well… dia kena gantung enam tahun,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, beliau dengan berlapang dada menerima pengumuman yang mendakwa beliau telah digantung keahlian daripada parti UMNO.

Sambil menyifatkan keputusan berkenaan sudah di dalam jangkaan, beliau pada masa sama tidak ralat akan pengumuman berkenaan dan masih kekal dengan pendiriannya sebelum ini.

Malah, beliau turut menganggap dengan adanya keputusan itu, maka semua yang menjadi tanda tanya selama ini dianggap terlerai.

“Saya menerima maklum perkara itu dan ramai kenalan bertanyakan berita tersebut.

“Setakat ini, saya belum menerima sebarang makluman rasmi daripada UMNO.

“Dan dengan adanya pengumuman berita berkenaan, saya harap itu boleh dianggap sebagai berita rasmi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, merupakan antara lima ADUN UMNO yang telah menyatakan sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Tindakan itu dilihat membelakangkan keputusan UMNO Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji.

-Deasoka

Share

Written by:

1 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!