Hajiji sambut baik cadangan penyatuan parti tempatan

Hajiji sambut baik cadangan penyatuan parti tempatan

PENAMPANG: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor optimis dan menyambut baik cadangan penyatuan parti-parti tempatan di negeri ini.

Menurut beliau, penyatuan berkenaan dilihat signifikan terhadap kesatuan wadah tempatan tanpa mengenepikan kepentingan nasional.

Hajiji berkata, cadangan tersebut turut dialu-alukan demi mengangkat martabat politik Sabah secara amnya.

“Ini satu cadangan yang paling baik kerana sampai masanya kita orang-orang Sabah bersatu dlm satu wadah tempatan tetapi juga menjaga kepentingan nasional.

“Ini paling penting kita bersatu, kita fokus kepada pembangunan negeri Sabah dan rakyatnya, janganlah terlampau berpolitik sehingga kita lupa kepada perkara asas, keperluan rakyat kita, “katanya kepada media sempena Rumah Terbuka Krismas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Tahun Baharu 2024 di ITCC, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesediaan parti-parti politik tempatan yang mencadangkan penyatuan di antara satu sama lain.

Terbaru, Presiden UPKO, Datuk Ewon Benendick dalam satu temuramah media berkata, UPKO terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti tempatan yang berhasrat mengadakan satu penyatuan besar.

Perkara itu timbul susulan kerjasama yang telah terjalin di antara parti STAR dan PBS, baru-baru ini dan bakal diterjemahkan pada tahun hadapan.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|