Bot penumpang bawa barang kawalan tanpa permit ditahan

Bot penumpang bawa barang kawalan tanpa permit ditahan

Sandakan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Sandakan menahan sebuah bot penumpang yang membawa barang kawalan tanpa permit yang sah di perairan daerah ini, semalam

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang melaksanakan rondaan Op Pluto Timur di sekitar perairan Sandakan mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sebelum diarahkan berhenti untuk tujuan pemeriksaan.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki.

Katanya, hasil pemeriksaan, bot dengan enjin sangkut 200 kuasa kuda yang didaftarkan untuk tujuan membawa penumpang dikendalikan seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke dalam bot seterusnya menemui 13 tong gas petroleum cecair (LPG) 14 kilogram setiap satu dan 24 tong berisi 25 liter minyak petrol setiap satu tanpa permit yang sah.

“Semua barang kawalan beserta bot dan pemandu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk barang kawalan, bot dan enjin sangkut berjumlah RM35,000.

“Semua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Negeri Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|