Alumni UMS teruja sertai perarakan

Alumni UMS teruja sertai perarakan

KOTA KINABALU: Ibarat ‘Sirih Pulang ke Gagang’, sekumpulan alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) teruja apabila dijemput untuk menyertai perarakan buat julung kalinya pada sidang pertama Majlis Konvokesyen UMS ke-25 baru-baru ini.  

Sidang pertama konvokesyen yang disempurnakan Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah merangkap Pro-Canselor UMS itu menyaksikan seramai 18 alumni UMS hadir memeriahkan acara tersebut.  

Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr. Arif Kamisan Pusiran berkata pihaknya telah menjemput  alumni UMS dari pelbagai latar belakang kerjaya meliputi pelbagai program pengajian yang mereka ikuti semasa bergelar pelajar UMS.

“Terdapat dalam kalangan alumni yang hadir terdiri daripada alumni ambilan pertama sesi 1995/1996 UMS yang bergraduat pada tahun 1999.  

“Pastinya kenangan sewaktu hadir bersama dalam Dewan Canselor, tempat di mana berlangsungnya majlis Konvokesyen UMS ini memberi seribu satu pengalaman manis yang akan terus dikenang dalam lipatan sejarah mereka.  

“Semoga program perarakan alumni ini akan menjadi pemangkin kepada kolaborasi yang lebih baik di antara alumni dan UMS pada masa-masa akan datang,” katanya.  

Tambah Dr. Arif lagi, alumni dilihat sebagai aset penting yang boleh menyumbangkan kecemerlangan universiti melalui sumbangan idea dan kepakaran demi melestarikan pembangunan universiti menerusi ikatan hubungan antara alumni dan UMS dalam memperkukuhkan ekosistem universiti.  

Sementara itu, salah seorang alumni yang ditemui, Anas Sulaiman, graduan pertama pada tahun 1999 tidak melepaskan peluang untuk menerima jemputan serta sanggup datang dari Sandakan bagi menghadiri majlis konvokesyen ini.  

“Saya sangat berterima kasih kepada Pusat Alumni, UMS yang mengaturkan program sebegini yang melibatkan alumni.  

“Perasaan teruja dan sebak tatkala menjejakkan kaki ke Dewan Canselor yang begitu gah ini kerana dulu saya hanya merasai pengalaman konvokesyen di Dewan Undangan Negeri Sabah pada tahun 1999,” ujarnya yang kini bertugas sebagai Penolong Guru Besar di SMK Sandakan.

Seorang lagi alumni yang ditemui, Dr. Yeap Boon Tat, graduan ambilan pertama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) tahun 2008 yang juga pensyarah UMS dan Pakar Bius di Hospital Queen Elizabeth menzahirkan rasa bangga sebagai alumni UMS dan mengucapkan syabas atas usaha Pusat Alumni UMS menjayakan program sebegini kepada para alumni.  

Begitu juga dengan Azizul Julirin, alumni Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) tahun 2010, yang kini merupakan Pemilik dan Pengarah Urusan, Kundasang Aquafarm & Konoha Agrotech Sdn. Bhd. turut berasa gembira dijemput kembali ke UMS dan merasai semula suasana konvokesyen serta diberi peluang beramah mesra dengan pengurusan utama UMS selain dapat berkenalan dengan alumni-alumni lain yang mempunyai profil kerjaya yang hebat.  

Perasaan teruja mengikuti majlis perarakan alumni turut dikongsikan oleh Radziah Matarsad, alumni Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) tahun 2005 yang kini merupakan usahawan dan Pemilik serta Pengasas South East Asia Treasure.  

Kumpulan alumni tersebut turut dibawa makan tengah hari bersama TYT Tun Canselor, Ahli Lembaga Pengarah Universiti serta pengurusan utama universiti.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|