Ranau: Dua pendaki Gunung Kinabalu yang mengalami demam melampau dan tangan terseliuh diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (Mosar) dalam dua kejadian berasingan, di sini, hari ini.
Kejadian pertama dilaporkan berlaku kira-kira jam 11 pagi apabila seorang lelaki berusia 35 tahun dilaporkan mengalami demam melampau di Laban Rata dan perlu dibantu untuk turun.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kes kecemasan pada 11.30 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan Mosar bersama kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) serta Malim Gunung melakukan pemeriksaan.
“Mangsa kemudian dibawa turun menggunakan Robertson Strecher dari Laban Rata Ke Timpohon Gate.
“Mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada 4.50 petang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, kejadian dua, PGO JBPM kemudianya menerima satu lagi panggilan kecemasan seorang pendaki wanita berusia 46 tahun terseliuh dipergelangan tangan ketika mendaki gunung di laluan Kilometer 4.5 Gunung Kinabalu, pada 12.57 tengah hari.
Menurutnya, pasukan Mosar bersama kakitangan TTS serta Malim Gunung melakukan pemeriksaan dan membawa turun mangsa menggunakan Robertson Strecher.
“Mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan kenderaan TTS bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada 3.53 petang,” katanya.
-Deasoka