Zuraida letak jawatan menteri, keluar BERSATU

Zuraida letak jawatan menteri, keluar BERSATU

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Berdasarkan laporan beberapa media nasional, Zuraida dalam kenyataannya turut mengumumkan penyertaan dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM), sekali gus keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Menerusi kenyataan itu, beliau menyatakan akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membincangkan peletakan jawatannya dalam Kabinet persekutuan dalam masa terdekat.

Beliau juga berkata akan membincangkan halatuju PBM dalam mengukuhkan kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui Ismail Sabri.

Zuraida bersama Datuk Seri Mohd Azmin Ali dan beberapa lagi bekas pemimpin PKR keluar parti untuk menyertai bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentuk Perikatan Nasional (PN) yang menerajui kerajaan baharu selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020.

Mereka kemudian menyertai BERSATU dan dikekalkan dalam Kabinet pimpinan Ismail Sabri selepas Muhyiddin meletak jawatan Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|