Yayasan RYTHM bawa aspirasi bangun komuniti Orang Asal Sabah

Yayasan RYTHM bawa aspirasi bangun komuniti Orang Asal Sabah

Tuaran: Yayasan RYTHM berhasrat untuk membawa lebih banyak aspirasi dan membangunkan komuniti penduduk Orang Asal Sabah khususnya bagi keperluan pendidikan, komuniti mampan dan kesaksamaan gender.

Ketuanya, Santhi Periasamy berkata, usaha yayasan itu adalah untuk membangunkan dan mewujudkan impian serta pembangunan aspirasi komuniti Orang Asal di seluruh Sabah.

“Kami amat berterima kasih kerana kedatangan kami di Sabah disambut baik oleh semua dan usaha kami untuk komuniti kaum Orang Asal juga turut mendapat sambutan dan kerjasama daripada pihak Good Shepherd Services (GSS).

“Inilah hasrat kami dan untuk permulaan ini, pastinya impak daripada usahasama ini akan kami lanjutkan lagi untuk masyarakat-masyarakat lain di negeri Sabah secara keseluruhan,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Adaptasi Komuniti Sabah Fasa Kedua dan Ketiga dan Perasmian Eko-pelancongan Kampung Ratau, Kampung Lokub dan Kampung Talantang, di Kiulu, semalam.

Yang turut hadir, Pembantu Menteri kepada Menteri Pelancongan, Alam Sekitar dan Kebudayaan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai dan Pengarah Eksekutif GSS, Chin Poh Choo.

Menurut Santhi lagi, yayasan itu adalah sebuah yayasan korporat di bawah Syarikat Kumpulan QI yang juga merupakan sebuah syarikat multinasional, yang berperanan untuk meneliti dan mengendalikan semua kerja-kerja tanggungjawab sosial korporat syarikat.

“Usaha-usaha kita adalah untuk fokus kepada tiga aspek meliputi pendidikan untuk semua, kesaksamaan gender dan pembangunan komuniti secara mampan, melalui kolaborasi pasukan kami dengan pihak-pihak berkepentingan seperti pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan yang mempunyai latar belakang dan reputasi dalam projek berkaitan pembangunan komuniti.

“Selain itu, kami juga menjalankan kerja-kerja yang sama, bukan hanya dalam negara, bahkan juga di luar negara seperti Afrika, India, Sri Lanka, Nepal, Indonesia, Vietnam dan juga Thailand,” katanya.

Tambah Santhi lagi, usaha utama untuk generasi muda khasnya pelajar adalah memperkasakan pendidikan dari fasa pendidikal awal sehingga tamat pengajian di peringkat sekolah menengah.

“Ramai pelajar yang lahir dari keluarga yang kurang berkemampuan mempunyai potensi untuk berjaya dan tekun untuk menimba ilmu.

“Oleh itu, kami berusaha keras untuk membantu dan membangunkan kualiti pendidikan kepada anak-anak ini, yang kurang berkemampuan dan kami juga sedar bahawa kaum wanita juga adalah antara yang perlu difokuskan untuk dibantu dari segi pembangunan kemahiran diri mereka, seperti kemahiran hidup dan insaniah.

“Hal ini penting kerana kadangkala segala bakat dan kebolehan mampu dicungkil dari dalam diri mereka yang mana boleh mereka gunakan dan aplikasikan untuk diri sendiri, supaya mampu berjaya setanding dengan orang lain di luar sana, sekali gus membina kejayaan hidup yang lebih progresif,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|