WARISAN masih teliti calon sesuai pada PRU-15 di Semenanjung

WARISAN masih teliti calon sesuai pada PRU-15 di Semenanjung

Kota Kinabalu: “Kita tengah menganalisis, meneliti calon-calon yang berpotensi di mana-mana kerusi yang kita nak tandingi,” itu maklum balas Presiden Parti Warisan (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung calon yang akan dikemukakan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Semenanjung.

Beliau berkata, perkara itu belum lagi diputuskan sebaliknya akan dibawa ke peringkat majlis tertinggi dan biro politik untuk dibincangkan.

“Saya tak boleh putuskan di sini. Saya akan bawa untuk pengetahuan majlis tertinggi dan biro politik yang ada.

“Saya pun sudah maklumkan kepada mereka, jelaskan tentang betapa pentingnya asasnya,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Warisan di Kolombong, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Warisan sudah mengenal pasti calon yang akan dikemukakan pada PRU15 untuk kerusi di Semenanjung.

Jelasnya lagi, Warisan perlu bergerak ke hadapan dalam usaha memberikan pilihan kepada rakyat di negara ini dalam PRU akan datang.

“Kita kena pastikan parti kita dikenali dan kita meneliti secara mendalam mana kawasan negeri yang ada. Saya yakin ada beberapa negeri yang kita tidak perlu bertanding dengan mengenali demografi pengundi-pengundi yang ada.

“Kita tidak mahu regangkan kekuatan kita dan kita tidak mahu kapasiti terbatas tetapi kita mahu berikan pilihan kepada rakyat Malaysia pada PRU15 ini,” katanya.

-deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|