Warisan arahkan semua bahagiannya kemuka senarai calon PRU-15

Warisan arahkan semua bahagiannya kemuka senarai calon PRU-15

Kota Kinabalu: Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sudah meminta setiap bahagian mengemukakan senarai calon kepada pimpinan parti untuk dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, walaupun setakat ini parti belum lagi memutuskan nama calon namun setiap bahagian boleh mengemukakan nama yang dirasakan layak untuk dicalonkan.

“Kita sudah lama beritahu dengan bahagian-bahagian di mana saya telah minta kemukakan (senarai calon) kepada pimpinan kita.

“Saya ingat awal lagi kita sudah maklumkan, cuma kita tidak uar-uarkan siapa dia dan bahagian boleh kemukakan tetapi pimpinan parti akan putuskan nanti,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan Kolombong, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, pemilihan calon untuk dikemukakan pada PRU-15 juga termasuk membabitkan calon dari Semenanjung.

“Di Semenanjung, kita akan letakkan calon di situ. Kita akan minta laporan daripada semua pengerusi perhubungan di beberapa negeri yang kita sudah lantik.

“Mereka akan maklumkan dengan kita kerana mereka yang mengetahui siapa yang layak dan boleh untuk menawarkan diri sebagai calon di kawasan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai gabungan dengan parti lain bagi menghadapi PRU-15, Shafie berkata, perkara itu tidak dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat parti.

“Kita tidak bincang secara terperinci tentang gabungan dengan mana-mana parti.

“Bagaimanapun kita kena ada kesiapsiagaan kita dulu seperti yang saya selalu ingatkan, perkuatkan rumah kita dulu, perbaiki rumah kita dulu selepas itu kita lihat bagaimana keadaan yang akan berlaku khususnya di peringkat Sabah ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|