
Kota Kinabalu: Warga tentera Kem Lok Kawi bakal menikmati kemudahan penginapan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang lebih baik dan selesa apabila kerja-kerja pembinaan rumah baru bakal dilaksanakan tidak lama lagi.
Acara menandatangani Surat Setuju Terima (SST) Pembinaan RKAT tambahan pelbagai kelas Kem Lok Kawi antara Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman dengan wakil syarikat kontraktor yang dilantik.
Majlis berkenaan turut disaksikan Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Arthur Joseph Kurop di Dewan Kinabalu Kem Lok Kawi, di sini, semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Kem Lok Kawi berkata, projek pembangunan bernilai RM188 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.
Katanya, ia merangkumi pembinaan baru sebanyak 513 unit RKAT serta kemudahan lain seperti Tempat Letak Kenderaan Terbuka, empat Unit Taman Permainan Kanak-kanak, Pencawang Elektrik, Menara Tangki, Rumah Pam dan 14 unit Rumah Sampah.
“Buat masa ini Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah mempunyai sebanyak 462 unit RKAT bagi pasukan-pasukan yang berada di Kota Kinabalu di bawah tanggungjawab Markas Staf Stesen Lok Kawi.
“Jumlah ini masih tidak mencukupi menyebabkan ada diantara warga tentera menyewa di luar kawasan kem dengan kadar sewaan yang tinggi serta jarak perjalanan jauh dari rumah ke tempat kerja,” katanya.
Menurutnya, projek pembinaan itu adalah sebahagian daripada perancangan TD sejajar dengan hasrat pihak kerajaan dalam menyediakan kediaman yang selesa mengikut kelayakkan serta memenuhi Aspirasi Keluarga Malaysia.
Pada majlis berkenaan, Arthur turut dibawa ke lokasi kawasan pembinaan dan meninjau sekitar kawasan RKAT di Kem Lok Kawi untuk melihat dengan lebih dekat keadaan serta keperluan warga tentera di kem ini.
Turut sama hadir sepanjang acara berlangsung, Komander Artileri Divisyen 5 Divisyen, Kol Zamri Mat Esa bersama Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan Jabatan Kerja Raya Malaysia, Ir Maria Marcus.
Rombongan turut disertai Timbalan Pengarah (Pembangunan) Bahagian Khidmat Pengurusan MinDef Sabah, Emilda Sabin dan Pengarah Pembinaan Pasukan Projek Khas 2 Jabatan Kerja Raya Malaysia, Ir Jasmi Wahab.
-Deasoka