Warga emas maut dirempuh kereta

Warga emas maut dirempuh kereta

Tawau: Seorang wanita maut selepas dirempuh kereta ketika cuba melintas jalan dalam kejadian di Batu 5, Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, mangsa berusia 55 terbabit disahkan maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika kejadian, kenderaan Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki bergerak dari arah kampung Ranggu menuju ke pusat bandar.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kenderaan terbabit dipercayai gagal mengelak mangsa yang tiba-tiba melintas jalan berkenaan.

“Pemandu Perodua Viva tidak sempat mengelak mangsa kerana jarak terlalu dekat dan terus merempuh mangsa.

“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Jasmin berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Besar Tawau menggunakan ambulan untuk proses bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|