Warga asing cuba seludup minyak petrol, tong gas ditahan

Warga asing cuba seludup minyak petrol, tong gas ditahan

Semporna: Cubaan seorang warga asing menyeludup keluar minyak petrol dan tong gas petroleum cecair (LPG) gagal selepas berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA), semalam.

Dalam operasi jam 9 pagi itu, lelaki menggunakan bot pam berkenaan berjaya dikesan di Perairan Pulau Omadal, di sini, oleh pasukan bot ronda pasukan Vanguard 8.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, sebaik dikesan dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi terus mengejar sebelum berjaya memintas bot pam berkenaan.

Katanya, pemeriksaan menemui enam jerikin berisi minyak petrol dan tong gas yang disembunyikan di dalam bot berkenaan.

“Suspek yang berasal dari negara jiran itu turut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua barangan yang dianggarkan bernilai RM2,734 berkenaan kemudiannya dirampas untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Rani berkata, semua barang rampasan kemudiannya dibawa ke Jeti Marin Semporna untuk tindakan lanjut dan suspek juga dibawa ke Hospital Besar Semporna untuk menjalani ujian Covid-19.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|