Wanita terseliuh buku lali dibawa turun Gunung Kinabalu

Wanita terseliuh buku lali dibawa turun Gunung Kinabalu

Kundasang: Seorang pendaki Gunung Kinabalu terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami kecederaan terseliuh buku lali dalam kejadian di kilometer 7.2, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, wanita berusia 54 tahun terbabit dilaporkan sukar bergerak dan perlu mendapatkan bantuan bagi membawanya turun mendapatkan rawatan.

Mangsa dihantar ke Hospital Ranau sebaik tiba di Timpohon Gate, Kundasang. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.30 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai termasuk MOSAR dan malim gunung dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa ditemui, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa seterusnya dibawa turun ke ‘Timpohon Gate’ dengan menggunakan Robinson stretcher oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, sebaik berjaya sampai ke Timpohon Gate, mangsa terus dihantar ke Hospital Ranau bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 3.55 petang tadi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|