Wanita disyaki dibunuh teman lelaki anak

Wanita disyaki dibunuh teman lelaki anak

Sandakan: Seorang wanita berusia 59 tahun ditemukan mati dengan kesan kelar dileher dipercayai dibunuh oleh teman lelaki anaknya dalam kejadian di sebuah rumah di Apartment Taman Sentosa, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, siasatan awal polis mendapati, mangsa tinggal bersama anak perempuannya yang berusia 25 tahun.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek

Katanya, suspek yang juga kekasih anaknya dikatakan datang ke rumah mereka pada jam 5.50 petang, sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

“Suspek dipercayai bertindak mengelar bahagian leher dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Manakala anak perempuan mangsa pula cedera ringan di bahagian tangannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Fuad berkata, selepas kejadian, suspek yang juga warga tempatan berusia 31 tahun menyerah diri di Balai Polis Sandakan dan ditahan untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, setakat ini, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan suspek kini ditahan reman.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HDOK untuk bedah siasat.

“Kes siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|