USNO diterima sertai GRS

Kota Kinabalu: Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) hari ini secara rasmi menjadi sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Perkara itu diumumkan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor selepas ia diputuskan mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang bersetuju menerima USNO sebagai ahli baharu gabungan berkenaan.

“Kita telah membincangkan permohonan-permohonan daripada parti-parti yang berminat untuk menyertai GRS. Jadi keputusan kita ialah pada hari ini mesyuarat telah bersetuju untuk menerima parti USNO untuk menyertai GRS.

“Untuk makluman semua, parti USNO telah memohon untuk menyertai GRS pada bulan Januari 2021, satu setengah tahun sudah berlalu dan hari ini kita telah putuskan untuk menerima parti USNO untuk menyertai GRS,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Berikutan perkembangan terbaharu itu, GRS kini dianggotai lima parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang menjadi pengasasnya.

Mengulas lanjut, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah memaklumkan ada beberapa parti lain turut memohon untuk menyertai GRS namun perkara itu masih dalam pertimbangan yang sewajarnya.

“Selain daripada itu, kita ada menerima lagi permohonan daripada parti-parti yang lain seperti Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan juga Parti Cinta Sabah (PCS).

“Kita amat menghargai permohonan mereka untuk menyertai GRS namun kita secara konsensus berpendapat kita memerlukan sedikit masa untuk berinteraksi dan mempertingkatkan lagi persefahaman,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan GRS akan melibatkan semua parti berkenaan dalam program atau aktiviti yang diadakan oleh GRS sebagai tanda penghargaan bagi hasrat mereka untuk menyertai gabungan itu.

“Sebagai tanda penghargaan kita kepada hasrat mereka untuk menyertai GRS, kita akan libatkan mereka dalam program atau aktiviti GRS dan juga kita akan menjemput mereka dalam majlis pelancaran GRS.

“Maknanya, kita amat menghargai keinginan mereka untuk menyertai GRS tetapi kita perlu masa sedikit kerana permohonan mereka juga baru disampaikan kepada saya sebulan dua yang lalu,” katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan GRS akan dilancarkan pada 26 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

“Menerusi pelancaran parti atau GRS ini secara rasminya maka kita menganggap bermulalah era baharu politik negeri Sabah dengan gabungan yang kita akan tonjolkan kepada rakyat untuk kepentingan negeri Sabah dan untuk bersama-sama mentadbir dan juga memajukan Sabah pada masa akan datang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|