UMNO tumpu gerak kerja PRU-15

Sandakan: Pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas, Ahad lalu memberi ruang kepada kepemimpinan pusat, bahagian dan cawangan memberi tumpuan kepada gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata pada masa yang sama, kestabilan parti akan terus terpelihara agar dapat menghadapi PRU-15 dengan lebih baik.

“Pindaan Perlembagaan UMNO itu akan memastikan parti terus stabil terutama dalam menghadapi PRU-15,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Libaran di Dewan PPR Muhibbah Batu 12, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ketua UMNO Libaran berkata, pindaan itu dapat mengelakkan wujudnya persaingan antara pasukan (team) dalam pemilihan di peringkat pusat, bahagian dan cawangan seperti team A, team B, team C yang akan mencacatkan gerak kerja PRU-15.

“Kita amat bimbang perkara ini akan berlaku jika pemilihan UMNO dilakukan sebelum PRU-15.

“Justeru, pemilihan UMNO akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU-15 supaya pemimpin serta ahli-ahli UMNO tidak lagi bimbang atau risau mengenai pemilihan itu sebaliknya memberi fokus gerak kerja kepada PRU-15,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata agenda kestabilan dan memperkasakan perpaduan dalam UMNO akan terus utuh tanpa wujudnya perpecahan.

“Apa maknanya agenda kestabilan dan perkasakan perpaduan yang ditawarkan kepada rakyat tetapi kita berpecah dengan wujudnya team-team atau puak-puak dalam pemilihan dimana akhirnya merugikan kita dalam UMNO sendiri,” katanya.

Suhaimi berkata pindaan perlembagaan itu membawa erti besar kepada UMNO dalam mengembalikan maruah demi kesinambungan perjuangan parti untuk masa depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|