
Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan tuntutan berbilion ringgit pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu terhadap Malaysia melalui proses timbang tara antarabangsa sebagai membimbangkan dan memalukan negara.
Dalam sesi perbahasannya di Dewan Rakyat hari ini, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata Kementerian Luar perlu sedar dan wajar memberi perhatian terhadap perkara itu.
Katanya, apa yang terjadi di Mahkamah Sepanyol yang menjatuhkan denda sebanyak RM63 bilion kepada Malaysia tidak timbul jika Kementerian Luar ada kesedaran bahawa perkara itu adalah sesuatu yang membimbangkan dan memalukan negara.
“Saya pasti, Filipina sendiri tiada hasrat untuk menggugurkan tuntutan ke atas Sabah. Ini kerana, siapa sahaja pemimpin Filipina yang tidak pertahankan tuntutan ke atas Sabah akan kalah pada pilihan raya mereka,” katanya.
Penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa sebelum ini mengarahkan kerajaan Malaysia membayar RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu pada perbicaraan di Mahkamah Arbitrasi di Paris, Perancis berhubung pelanggaran perjanjian pajakan ke atas Borneo Utara (Sabah) pada 1878.
Menerusi satu kenyataan bersama sebelum ini, Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara, menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan yang dibuat waris Kesultanan Sulu menerusi prosiding timbang tara yang dibuat di Paris, Perancis itu.
Kenyataan bersama itu menjelaskan Malaysia tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara yang dikatakan itu selain menegaskan Malaysia sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.
Pelbagai pihak tampil menyuarakan gesaan kepada kerajaan agar tidak membuat apa-apa bayaran kepada pihak yang mengaku waris Kesultanan Sulu, malah bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum ini menegaskan lebih baik wang terbabit diserahkan kepada Sabah.
-Deasoka