
Tawau: Cubaan sekumpulan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) menyelinap ke negara ini, berjaya dipatahkan selepas dikesan masuk perairan Laut Sungai Melayu, Pulau Sebatik, di sini, semalam.
Semua warga asing berusia 22 hingga 61 tahun terbabit dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) yang kemudiannya berjaya mengiringi mereka keluar dari negara ini.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, sebaik dikesan, pasukan operasi terus menahan bot berkenaan yang dijuragani seorang lelaki.
Katanya, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati seramai empat lelaki dan tiga wanita warganegara Indonesia.
“Juragan bot dan semua penumpang terus diberi penerangan berkaitan pematuhan prosdur operasi standard (SOP) Covid-19 sepertimana yang ditetapkan dalam Perintah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Bot yang membawa tujuh penumpang terbabit terus diiring keluar dari perairan negara dan diarahkan supaya tidak kembali semula ke negara ini bagi mengekang penularan wabak penyakit Covid-19,” katanya di sini.
Menurutnya, PPM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara,m.
Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, pasukan PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat menerusi aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197.
“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat sentiasa terjaga dan terkawal,” katanya.
-Deasoka