Toh Puan Rahimah seorang wanita hebat dan luar biasa – Musa Aman

Toh Puan Rahimah seorang wanita hebat dan luar biasa – Musa Aman

Kota Kinabalu: Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, menyifatkan Sabah kehilangan seorang wanita hebat yang berperwatakan luar biasa berikutan pemergian Toh Puan Rahimah Stephens, hari ini.

Beliau berkata, isteri bekas Ketua Menteri Sabah pertama dan kelima serta Yang di-Pertua Negeri ketiga, Tun Mohd Fuad Stephens itu adalah perintis peranan wanita dalam perkhidmatan awam negeri sebagai wanita pertama Sabah dilantik menganggotai Kabinet negeri.

“Toh Puan adalah seorang yang merendah diri dan baik selain tetap tabah walaupun berdepan banyak cabaran termasuk kematian tragik suaminya, Tun Mohd Fuad.

“Kekuatan perwatakannya dipadankan dengan semangatnya untuk hidup yang tercermin menerusi kecintaannya untuk menari sehingga ke usia emasnya.

“Saya mendapat keistimewaan untuk mengenali wanita ini yang sangat selesa memberitahu saya mengenai kebimbangan dam harapannya untuk Sabah.

“Pada akhir setiap perbualan, dia akan berkata ‘Jaga Sabah Musa’,” katanya dalam satu kenyataan berhubung pemergian Toh Puan Rahimah, di sini, hari ini.

Allahyarhamah Toh Puan Rahimah menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi tadi pada usia 91 tahun akibat serangan jantung di sebuah hospital swasta, di sini.

Sepanjang hayatnya, Allahyarhamah juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu menggantikan suaminya menerusi satu Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan berikutan kematian Tun Mohd Fuad akibat nahas pesawat pada 6 Jun 1976 yang ketika itu Ketua Menteri kelima.

Selepas PRK berkenaan, Toh Puan Rahimah dilantik sebagai Menteri Kebajikan negeri dalam Kabinet baharu kerajaan BERJAYA pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Harris Salleh ketika itu.

Musa mewakili keluarganya mengucapkan takziah kepada keluarga Toh Puan Rahimah atas pemergiannya secara mengejut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|