Timbalan Pengarah JBPM Sabah bantu wanita bersalin dalam kereta

Kota Kinabalu: Tindakan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan, berhenti untuk memeriksa kenderaan ditepi jalan berjaya menyelamatkan seorang wanita yang baru bersalin sendiri di Jalan Lintas, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.45 petang itu, wanita berusia 39 tahun terbabit difahamkan tidak sempat sampai ke Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas, di sini, akibat kesesakan jalan.

Wanita yang selamat melahirkan bayi perempuan di dalam kereta di tepi jalan di Jalan Lintas, Kota Kinabalu.

Wanita yang menaiki Perodua Viva bersama suaminya itu terpaksa berhenti di tepi jalan sebelum melahirkan anak perempuan di dalam kenderaan berkenaan.

Farhan ketika dihubungi berkata, ketika itu, beliau sedang dalam perjalanan menuju ke Ibu Pejabat JBPM Sabah yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Wanita bersama bayinya di hantar ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun katanya, sebaik melihat kelibat seorang wanita terbaring di dalam kenderaan dan gelagat lelaki berdepan kecemasan, beliau terus memberhentikan kenderaan.

“Sebaik menyedari kejadian sebenar, saya terus menghubungi pasukan bomba dan membantu menenangkan mangsa serta mengikat tali pusat bayi terbabit.

“Pasukan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) yang hadir di lokasi terus memberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Farhan berkata, mangsa dan bayi terbabit dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini ditempatkan di Hospital Likas untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Farhan berkata, kes kecemasan seperti ini bukanlah yang pertama dihadapinya selaku pegawai bomba.

Malah katanya, pernah juga ada kes di mana wanita terpaksa melahirkan anak di Balai Bomba akibat masalah kesesakan untuk ke hospital yang memaksa mangsa singgah ke balai bomba untuk meminta bantuan dihantar ke hospital berhampiran.

“Ada juga kes di kawasan pedalaman yang mana wanita terpaksa melahirkan anak di dalam helikopter bomba semasa dalam penerbangan ke hospital.

“Menerusi pengalaman seperti ini, jabatan ini akan sentiasa menerapkan ilmu berkaitan kes kecemasan kepada pasukan bomba terutama kepada unit EMRS supaya lebih bersedia,”
Katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|