
Kota Kinabalu: Tiada istilah ‘pilih kasih’ dalam pemilihan pemain yang diturunkan Sabah FC dalam satu-satu perlawanan sehingga meminggirkan pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia 2022.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata sebaliknya berkata kemampuan semua pemain akan dinilai sebelum disenaraikan sebagai kesebelasan utama pasukan.
“Apabila saya menubuhkan satu pasukan baharu Sabah FC, sebenarnya tidak timbul soal isu yang mana saya harus menurunkan pemain tempatan ataupun pemain dari mana sekalipun.
“Apa yang penting bagi saya, jika mereka mampu beraksi sebagai kesebelasan utama mereka tetap akan diturunkan dan setiap pemain yang diturunkan mereka bukan beraksi untuk diri sendiri.
“Pemain bermain untuk pasukan,mereka memakai lencana kebanggaan di dada iaitu Sabah FC dengan memastikan mereka mampu mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.
“Saya tidak nampak ini sebagai satu isu utama, kecuali ada segelintir dalam kalangan mereka sengaja untuk menimbulkan masalah ini sehingga mengganggu perjalanan pasukan dalam menghadapi saingan dalam Liga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau mengulas rungutan segelintir penyokong Sabah FC di media sosial yang melihat pasukan kendaliannya tidak menyenaraikan pemain tempatan pada perlawanan pertama Liga Super 2022 menentang Negeri Sembilan FC (NSFC), Jumaat lalu di Stadium Likas.
Mengulas mengenai pertemuan dengan PJ City FC esok, Kim Swee berkata pasukan berkenan bermain 100 peratus menggunakan tenaga pemain tempatan dan berjaya menewaskan Melaka United FC dalam pertemuan pertama Liga Super, minggu lalu.
“Kita tahu pasukan PJ City FC sudah bersama-sama lebih kurang tiga tahun dengan pemain yang sama dan mereka membuktikan walaupun bermain tanpa pemain import mereka mampu beraksi dengan cemerlang.
“Sudah tentu ini satu tugasan yang lebih mencabar dan saya percaya pasukan PJ City adalah satu pasukan yang cukup baik walaupun tanpa pemain import,” katanya.
Dalam pertemuan itu nanti, Kim Swee berkata Sabah FC masih mengekalkan beberapa pemain import sedia ada berikutan berdasarkan prestasi cemerlang ketika menentang NSFC minggu lalu.
“Kita tahu kekuatan pemain-pemain PJ City FC yang berpengalaman termasuk K Gurusamy, Darren Lok, S Kumaahran dan Mahali Jasuli. Mereka ini bekas pemain kebangsaan tetapi masih lagi mempunya nilai persembahan yang cukup baik.
“Kita tidak boleh hilang fokus dan harus kekal fokus sehingga akhir perlawanan. Seharusnya kita mesti mencapai keputusan positif menentang PJ City FC esok,” katanya.
-Deasoka