
Kota Kinabalu: Parlimen bersetuju dengan pendirian Parti Bersatu Sabah (PBS) berhubung keperluan mewujudkan undang-undang berkaitan anti lompat parti di negara ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, sebagai salah satu perintis dalam undang-undng anti lompat parti, PBS kekal dengan pendirian menentang kelakuan itu.

Katanya, akan ada taklimat daripada Menteri Undang-Undang berkaitan perkara itu pada Selasa ini kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang.
“Selepas 37 tahun usia PBS kami bersyukur akhirnya mereka bersetuju untuk membentangkan akta anti lompat dan melaksanakan memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang.

“Ia akan dibentang dalam sidang Parlimen kali ini dan kita ada sehingga 25 Mac ini iaitu sehingga hari terakhir bersidang jadi terserah kepada Menteri Undang-Undang untuk menyusunnya dan diharap ia dapat dibentangkan sebelum hari terakhir Parlimen bersidang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-37 PBS di Dewan Hakka, Likas, di sini, malam tadi.
Hadir sama pada majlis itu ialah Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Naib Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai.
Sebelum itu, Maximus dalam ucapannya berkata, PBS ketika membentuk kerajaan negeri sudahpun memperkenalkan undang-undang berkenaan pada 1988.
“PBS bersendirian dalam perjuangan itu. Badan kehakiman kemudian menentang kami dan mengisytiharkan peruntukan Perlembagaan Negeri mengenai anti lompat parti ini haram,” katanya.
Sementara itu, ditanya jika akta itu turut dibahaskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal dan Sarawak) itu turut bersetuju ia dibawa ke DUN kerana ia sudah diluluskan sejak PBS memerintah lagi.
“PBS mengambil pendirian walaupun seseorang wakil rakyat itu sebagai bebas namun jika dia menyertai parti lain ia juga turut dikira sebagai lompat parti.
“Mereka tidak fikir ia sebagai lompat tetapi bagi PBS, ia masih lompat sebab dia berjanji untuk berkhidmat sebagai bebas dan kemudian tukar fikiran sertai kerajaan, itu bertentangan dengan janji kepada pengundi. Jadi ini antara perkara yang perlu dibahaskan,” katanya.
-Deasoka