
Kota Kinabalu: Tagih hutang RM3,000. Itu punca utama kes pembunuhan membabitkan mangsa berusia 25 tahun di Jalan Kionsom, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan dijalankan, suspek mengaku mencekik sebelum menjerut mangsa sehingga mati.

Katanya, suspek kemudiannya mengheretnya keluar dari kereta sebelum meninggalkan mangsa kawasan semak berkenaan.
“Punca ataupun motif adalah kerana suspek marah selepas mangsa menagih hutang sebanyak RM3,000 daripada suspek.
“Pada peringkat awal, mangsa bersetuju untuk berbincang, namun berlaku pertengkaran antara mereka sehingga suspek nekad mencekik mangsa,” katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, dalam keadaan mangsa sudah tidak berdaya, suspek sekali lagi mencekik mangsa menggunakan kabel yang ada di dalam kenderaannya.
Katanya, suspek kini ditahan reman selama tiga hari dan polis percaya kes ini selesai dengan penahanan lelaki berusia 43 tahun terbabit.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya punca mangsa sempat menghantar lokasi menerusi aplikasi WhatsApp kepada bapanya, Mohd Zaidi berkata, mangsa mungkin terasa dalam keadaan terancam.
“Dalam keadaan terancam, mangsa dipercayai terus mengirimkan lokasinya kepada bapanya yang sedang menunggunya di bengkel tempat suspek bekerja,” katanya.
Deasoka pada Rabu melaporkan seorang tukang cat kereta berusia 43 tahun ditahan selepas disyaki menyebabkan kematian seorang lelaki di kawasan semak di Jalan Kionsom Lama, pada Selasa lalu.
-Deasoka