Surau musnah terbakar

Surau musnah terbakar

Papar: Sebuah surau jenis separuh kekal musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Sapat, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, surau berkeluasan 222 meter persegi berkenaan musnah hampir 90 peratus.


Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan surau di Kampung Sapat, Papar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.27 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dikerah ke lokasi kejadian.

Keadaan kebakaran ketika api sedang marak dan operasi memadam kebakaran sedang dilakukan.

“Setibanya di lokasi kejadian, api didapati sedang marak dan operasi memadam kebakaran segera dilakukan bagi mengawal daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.

“Tindakan operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dengan dua pancutan sepanjang 100 meter,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, api hanya berjaya dikawal daripada terus merebak pada jam 1.48 pagi dan seterusnya kerja-kerja pemadaman punca-punca api diteruskan.

“Tiada mangsa cedera atau kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.22 pagi.

“Bahagian Forensik JBPM akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden kebakaran ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|