Sumbat rokok seludup dalam Perodua Myvi

Sumbat rokok seludup dalam Perodua Myvi

Tawau: Pasukan Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup masuk 645 karton rokok tidak bercukai ketika rondaan Op Benteng Bersama dilakukan berhampiran Masjid Al Islam di Lorong Haji Salleh, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, rokok yang dianggarkan bernilai hampir RM30,000 itu berjaya dirampas di dalam kereta jenis Perodua Myvi.

Tim Ronda Quick Reaction Force (QRF) berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup rokok di Tawau.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kejayaan ini adalah hasil tindakan pantas Tim Quick Reaction Force (QRF) selepas mencurigai tindakan seorang lelaki dewasa yang sedang memuat masuk barangan berupa kotak dalam bungkusan plastik hitam ke dalam kereta Perodua Myvi warna kelabu.

Katanya, Tim QRF bertindak mendekati kereta itu tetapi lelaki terbabit terus melarikan diri dan pemeriksaan awal terhadap kereta berkenaan disyaki digunakan bagi tujuan membawa rokok dan tembakau seludup dari Indonesia ke Tawau.

Rokok seludup yang dirampas.

“Hasil pemeriksaan mendapati nilai rampasan bagi 225 karton rokok seludup pelbagai jenama adalah dianggarkan berjumlah RM26,775 manakala tembakau sebanyak 420 bungkus bernilai RM2,520.

“Kenderaan berkenaan dianggarkan bernilai RM25,000 dan nilai keseluruhan rampasan adalah berjumlah RM54,295,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, MK ATB 2 percaya kegiatan ini turut membabitkan sindiket warga tempatan dan warga asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar daerah ini.

“Semua barangan rampasan dan kereta diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Karim menzahirkan ucapan tahniah kepada anggota – anggota yang bertugas di POWB ATB 2, Tim QRF, Tim OCP Daratan dan IPD Tawau atas gabungan kerjasama serta sokongan pelaksanaan operasi ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|