SPRM tahan lelaki cuba sogok polis

SPRM tahan lelaki cuba sogok polis

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan seorang lelaki selepas disyaki cuba memberi sogokan sebanyak RM650 kepada seorang pegawai polis.

Pemegang pas IMM13 berusia 38 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Sabah, di sini kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Sumber berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh dikatakan cuba memberi suapan bagi melepaskan diri daripada ditahan kerana melakukan kesalahan memandu tanpa lesen.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

“Suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan tangkapan itu adalah hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta SPRM Sabah dalam usaha membanteras gejala rasuah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memberikan sebarang sogokan kepada mana- mana anggota agensi penguat kuasa atau penjawat awam kerana ia salah di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|