SPM 2021: SMK Pantai catat keputusan terbaik dalam tempoh 6 tahun

SPM 2021: SMK Pantai catat keputusan terbaik dalam tempoh 6 tahun

Labuan: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pantai mencapai keputusan terbaik dalam tempoh enam tahun selepas mencatat 96.56 peratus lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumumkan baru-baru ini.

Sekolah berkenaan mencatat 92.66 peratus lulus dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 5.34 pada SPM 2020, manakala 4.44 pada SPM 2021.

Ismail bersama pelajar cemerlang SPM 2021, Evania Liew Hui Chen.

SMK Pantai juga kembali melahirkan calon SPM yang mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diduduki selepas tiga tahun tiada pelajar mencatat keputusan berkenaan.

Pada SPM 2021, seorang pelajar SMK Pantai, Evania Liew mencatat keputusan cemerlang semua A dengan 9A+.

Ismail (kanan) menerima keputusan SPM 2021 daripada Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Yusup Mohamad.

Secara keseluruhan, seramai 18 pelajar memperolehi keputusan 6A ke atas berbanding hanya lima pelajar pada SPM 2020.

Pengetua SMK Pantai, Ismail Abdullah merakamkan ucapan tahniah kepada mantan Pengetua SMK Pantai, Sahar Misron dan Norazita Md Nor yang memimpin guru, murid dan staf SMK Pantai sehingga mencapai keputusan cemerlang.

“Ucapan tahniah juga kepada semua guru, PIBG, ibu bapa dan warga SMK Pantai sehingga mencapai keputusan cemerlang ini,” katanya.

Tambah Ismail, beliau hanya sempat dua bulan bersama calon SPM 2021 sejak memulakan tugas pada 7 Februari 2022 dan cuma sempat menyumbang semangat, motivasi saat akhir, sentuhan psikologi dan doa yang berterusan.

Ismail berazam bersama guru-guru dan warga SMK Pantai untuk meneruskan usaha memastikan kecemerlangan itu berterusan.

Sementara itu, Evania yang dinobat pelajar cemerlang SPM SMK Pantai 2021 adalah seorang yang aktif dan seimbang dalam pencapaian kurikulum, kokurikulum dan sahsiah.

Selama bersekolah di SMK Pantai (2017-2022) pelbagai kejayaan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa dicapai berkat disiplin, komitmen dan ketekunan yang sangat tinggi.

Antara pencapaian beliau ialah Johan Pertandingan Memasak Chef Remaja Sekolah Menengah 2017 Peringkat Negeri tajaan Maggi, Johan Pertandingan Memasak Chef Remaja Sekolah Menengah 2017 Peringkat Kebangsaan tajaan Maggi, Program Pengantarabangasaan Kulinari Di Sekolah Tinggi Pariwisata, Bandung, Indonesia 2017, Johan Pertandingan Perbarisan MSSM WPL 2018, Johan Pertandingan Aktiviti Pendidikan Luar Secara Rakaman Video Acara Masakan Rimba Peringkat Negeri 2021 dan Tempat ketiga Pertandingan Tokoh Nilam Bahasa Melayu Sekolah Menengah Peringkat Negeri 2021.

Selain itu, beliau juga menduduki tempat Pertama Pertandingan Bicara Buku Kategori Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Peringkat Negeri 2021, tempat keempat Pertandingan Bicara Buku Kategori Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2021, tempat Pertama Anugerah TEKNOPEN 2021 Ikon Pengawas Pusat Sumber Sekolah Menengah Peringkat Negeri W.P Labuan 2021, tempat Pertama Pertandingan First Aid Challenge Peringkat Negeri W.P Labuan 2021 dan menyertai Pertandingan Grow Rimba Anjuran Kelab Duta Rimba Tahun 2021 Peringkat Kebangsaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|