
Kota Kinabalu: Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) dan ADSI Engineering Sdn Bhd, hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama membangunkan loji janakuasa gas di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sempena sambutan ulang tahun pertama pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

ADSI diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mazlan Abu Bakar dan Pengarahnya, Ts Johan Mohamad, manakala SOGDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kadir Damsal dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Benedict Bisoni selaku saksi.
Mazlan berkata, ADSI akan membangunkan loji janakuasa gas berkapasiti 200MW dengan kos bernilai lebih RM900 juta.
Katanya, projek itu untuk menyediakan bekalan tenaga yang mampan kepada SOGIP dan industri petrokimia yang dibangunkan di kawasan berkenaan.
MoU berkenaan adalah antara enam Mou kerjasama di antara SOGDC dengan pelbagai pemain industri dari dalam dan luar negara membabitkan nilai pelaburan keseluruhan hampir RM20 bilion.
-Deasoka