
Kota Kinabalu: Kerajaan digesa supaya menyiasat siapa yang membayar kos guaman untuk waris Sultan Sulu dalam tuntutannya di mahkamah timbang tara antarabangsa sehingga berjaya mendapatkan anugerah bernilai RM62.5 bilion.
Bekas Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee, berkata keluarga Kiram (waris Sultan Sulu) tidak mempunyai sumber kewangan untuk melaksanakan usaha undang-undang antarabangsa seperti itu berikutan kosnya yang sangat tinggi.
“Siapakah yang membayar yuran guaman dan kos kes timbang tara yang dilakukan kepada Sepanyol dan Perancis? Seperti yang diketahui oleh setiap peguam, yuran dan kos guaman di Eropah boleh menelan belanja berjuta-juta ringgit.
“Siapa yang membayar yuran dan kos itu? Keluarga Kiram tidak mempunyai sumber kewangan untuk melaksanakan usaha undang-undang antarabangsa sedemikian.
“Oleh itu, saya menggesa kerajaan Malaysia untuk menyiasat siapa yang membayar bil pihak yang menuntut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau mengulas laporan yang menyebut penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan kerajaan Malaysia membayar RM62.5 bilion kepada waris Sultan Sulu ketika perbicaraan di Mahkamah Arbitrasi di Paris, Perancis, baru-baru ini.
Katanya, setelah mengetahui identiti pembayar yuran dan kos guaman, kerajaan akan mempunyai identiti pesalah yang mendorong keturunan Kiram meneruskan tuntutan terhadap Sabah.
Teck Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, berkata pada Jun 2020, beliau juga pernah bertanya secara terbuka kepada bekas Menteri Undang-undang persekutuan dan Ketua Menteri Sabah ketika itu mengenai kes di Madrid, Sepanyol tetapi tiada maklum balas.
“Saya kini menggesa kedua-dua kerajaan persekutuan dan Sabah untuk bersungguh-sungguh dan serius melaksanakan kempen yang konsisten dan terancang bagi menentang implikasi politik dan keselamatan daripada tuntutan Filipina atau Sulu ke atas Sabah, termasuk yang terbaru dipanggil anugerah RM62.5 bilion,” katanya.
Mengulas mengenai anugerah atau Final Award RM62.5 bilion itu, Teck Lee berkata ia tidak diperlukan dalam undang-undang dan tidak akan sampai ke mana-mana.
“Penganugerahan itu yang kononnya dalam keputusan timbang tara selepas urusan berat sebelah di negara asing tidak mempunyai asas dan tidak akan mempunyai kesan undang-undang sama seperti perbicaraan tribunal berat sebelah yang dibawa oleh kerajaan Filipina terhadap China berhubung isu Laut China Selatan,” katanya.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu berkata, apa yang membimbangkan berita mengenai penganugerahan RM62.5 bilion itu akan mendorong beberapa elemen keturunan Kesultanan Kiram yang sudah tidak berfungsi untuk mencetuskan gangguan di Sabah.
Beliau berkata, pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Filipina juga akan merasakan mereka sah untuk kekal di Sabah, justeru menyukarkan pihak berkuasa Malaysia menghantar pulang mereka.
Katanya, pada masa yang sama, tarikan wang RM62.5 bilion itu akan memburukkan lagi konflik dalam kalangan lebih daripada 50 penuntut Sultan Sulu yang mendakwa sebagai waris keluarga Kiram.
Jelasnya, pada 1930-an, selepas kemangkatan Sultan Sulu terakhir tanpa waris lelaki, Filipina mengisytiharkan bahawa Kesultanan Sulu sudah berakhir.
“Latar belakang inilah yang membawa kepada kes mahkamah Dayang-Dayang (anak perempuan Kiram) terhadap Kerajaan Borneo Utara & lain-lain (1939) di mahkamah di Sandakan,” katanya.
Dakwanya, satu lagi akibat daripada ‘anugerah’ itu ialah kerajaan Filipina akan menghalang keluarga Kiram daripada mendapatkannya pada jumlah RM62.5 bilion.
“Bayangkan berapa banyak lagi masalah yang boleh ditimbulkan oleh penerima RM62.5 bilion kepada kerajaan Filipina?
“Kerajaan Filipina adalah bijak untuk mengingatkan keturunan Kiram bahawa pada 1962, apabila mereka mahu kerajaan Filipina meneruskan tuntutan Sabah di bawah undang-undang antarabangsa, sebagai permulaan kepada pembentukan Malaysia (pada 1963), tidak boleh ditarik balik.
“Jadi, jika keturunan Kiram ingin menuntut, mereka harus menuntut terhadap kerajaan Filipina mereka sendiri,” katanya.
Jelasnya lagi, jika Filipina sekarang mengambil tuntutan Sabah, ia dengan sendiri akan menjadi satu lagi tindakan sia-sia kerana Filipina membingungkan kes undang-undang mereka pada 2001.
Katanya, ia kerana percubaan Filipina untuk memulihkan tuntutan Sabah sudah dibuang oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (Mahkamah Dunia) dalam penghakiman pada 23 Oktober 2001.
-Deasoka