
Kota Kinabalu: Kerajaan Pusat perlu menyiasat secara terperinci campur tangan Pejabat Peguam Negara dalam Badan Kehakiman berikutan tularnya sepucuk surat daripada Timbalan Pendakwa Raya yang mengarahkan Hakim Mahkamah Tinggi untuk menyegerakan kes Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain, turut menggesa supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merehatkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, sepanjang siasatan itu dijalankan.

“Saya menyeru kepada Badan Eksekutif yang diketuai YAB Perdana Menteri untuk segera menyiasat sedalam-dalamnya campur tangan Pejabat Peguam Negara (salah satu jabatan terpenting di bawah Jabatan Perdana Menteri) terhadap Badan Kehakiman yang sepatutnya kekal bebas daripada sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak termasuklah daripada Badan Eksekutif yang diketuai YAB Perdana Menteri sendiri.
“YAB Perdana Menteri perlu ‘merehatkan’ Peguam Negara ini dengan kadar segera sehinggalah siasatan selesai. Pencabulan terhadap pengasingan kuasa ini amat serius dan tidak dapat diterima.
“Kekalkan pengasingan kuasa walau apa cara sekalipun!!,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, surat yang tular itu mendedahkan campur tangan Pejabat Peguam Negara dalam Badan Kehakiman, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai situasi sebenar konsep pengasingan kuasa di antara Badan Perundangan, Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman di negara ini.
“Bukankah negara ini negara hukum yang mengamalkan konsep pengasingan kuasa di antara Badan Perundangan, Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman?
“Sebagai rakyat Malaysia, saya berhak bertanya apakah YA Ketua Hakim Negara juga turut menerima surat yang serupa daripada pejabat Peguam Negara untuk menyelesaikan kes SRC Datuk Seri Najib Razak dengan kadar segera?
“Jika benar, negara tercinta ini bakal menjadi bahan jenaka dunia. Walau di ambang sambutan kemerdekaan, ternyata kita masih belum benar-benar mengisi kemerdekaan itu dengan pelaksanaan pengasingan kuasa sepenuhnya,” katanya.
Sebelum ini tular surat dari Pejabat Peguam Negara yang ditujukan kepada Hakim Mahkamah Tinggi meminta supaya perbicaraan kes Ahmad Zahid diberi keutamaan berbanding kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, pada prosiding kes Ahmad Zahid hari ini, pihak pendakwaan menarik balik surat yang dihantar kepada Hakim Mahkamah Tinggi itu.
Berikutan itu, pihak pendakwaan menganggap isu berkaitan perkara itu sudah selesai dan tiada lagi permohonan sedemikian di hadapan mahkamah berkenaan.
-Deasoka