
Kota Kinabalu: Sepakan sudut dan sepakan percuma menjadi senjata berharga buat Sabah FC apabila berjaya menundukkan PJ City FC 3-1 dalam saingan kedua Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.
Ia berikutan ketiga-tiga gol Sabah malam tadi dijaringkan menerusi sepakan percuma pada minit ke-16 dan 47 serta sepakan sudut pada minit ke-35.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu ‘senjata’ berkenaan terus dimanfaatkan skuad Sang Badak dalam perlawanan akan datang bagi memastikan Sabah dapat meneruskan kemenangan.
“Kita bermain agak baik kalau dibandingkan ketika pertemuan dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) sebelum ini terutama dengan penyudah yang lebih baik pada kali ini walaupun melalui sepakan sudut atau sepakan percuma.
“Ini adalah senjata yang pasti akan membantu kita pada perlawanan akan datang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Likas, malam tadi.
Gol Sabah FC masing-masing dijaringkan pemain import dari Brazil, Jackson De Souza dan Neto Pessoa pada minit ke-16 dan ke-35, manakala gol ketiga pada minit ke-47 oleh Saddil Ramdani.
PJ City pula berjaya meledakkan gol tunggal melalui penyerangnya, S Kumaahran pada minit ke-45 sekali gus membolehkan Sabah menang 3 – 1 ke atas PJ City.
Jumaat lalu penyokong Sabah FC kecewa selepas pasukan kesayangan mereka tewas 1 – 0 di tangan NSFC pada perlawanan pertama Liga Super 2022 yang juga berlangsung di Stadium Likas.
Dalam pada itu, Kim Swee menegaskan masih terlalu awal untuk menilai prestasi pemain importnya pada musim ini memandangkan mereka baru melalui dua perlawanan.
Lima pemain import membarisi skuad Sang Badak kali ini iaitu Neto Pesoa dan Jackson De Souza dari Brazil; Taiki Kagayama dari Jepun; Park Taesu (Korea Selatan) dan Saddil Ramdani dari Indonesia.
“Bagi saya, setiap pemain bukan saja Neto, Jackson, Taiki, mahupun Park atau Saddil, mereka harus diberi masa untuk menunjukkan prestasi.
“Pemain ni hanya dikumpulkan selama dua bulan. Walaupun mereka adalah pemain yang berkualiti, sesuatu pasukan memerlukan masa untuk dibentuk dan saya percaya pasukan ini akan bertambah baik dari satu masa ke satu masa,” katanya.
Jelasnya, adalah tidak adil untuk mengkritik pemain selepas satu atau dua perlawanan, sebaliknya mereka harus diberi peluang untuk menonjolkan diri dalam lebih banyak perlawanan.
Berikutan kemenangan ke atas PJ City malam tadi, Sabah FC kini menduduki tempat ketiga carta Liga Super 2022 di belakang Kedah Darul Aman FC dan JDT.
-Deasoka