Sentiasa waspada taktik penipuan ‘scammer’

Sentiasa waspada taktik penipuan ‘scammer’

Sandakan: Masih ramai yang menjadi mangsa kes penipuan (scam) walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) berulang kali mengeluarkan nasihat supaya berwaspada terhadap sebarang taktik kegiatan itu.

Ketua Masyarakat Cina Elopura, Kapitan James Leong Tshun Kian, berkata terbaharu sindiket penipuan memerangkap mangsa melalui pesanan ringkas (SMS) berhubung transaksi akaun bank.

James menunjukkan saluran yang boleh digunakan untuk mengelak penipuan scammer.

Katanya, penerima mesej berkenaan kemudian diminta menghubungi nombor telefon yang disertakan dipercayai sebagai taktik untuk memperdaya orang ramai.

“Abaikan SMS itu dan hubungi cawangan bank terdekat anda untuk kepastian kerana terdapat ramai yang membalas SMS berkenaan menjadi mangsa sindiket penipuan,” kata dalam satu kenyataan.

Jelasnya, sindiket penipuan akan mengeluarkan wang dari akaun bank mangsa dalam masa singkat dengan menggunakan butir-butir yang mereka perolehi daripada mangsa sendiri jika mangsa menghubungi nombor terkandung dalam SMS itu.

James turut berkongsi beberapa saluran disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (CCID) Bukit Aman yang boleh dihubungi orang awam bagi mendapat nasihat berhubung kes penipuan.

Saluran terbabit ialah: CCID Infoline (whatsapp) 013 211 1222 waktu operasi 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, dan CCID Scam Response Center – talian nombor 03 2610 1559 atau 03 2610 1599 waktu operasi 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.

Selain itu, katanya orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi Semak Mule CCID di Google Play Store ‘Check Scammers CCID’ atau layari laman https://semakmule.rmp.gov.my.

“Maklumat mengenai jenayah komersil terkini juga boleh diperolehi dengan menikuti Facebook @ JSJKPDRM atau @CyberCrimeAlertRMP,” katanya.

Katanya, ia adalah inisiatifnya untuk membantu pihak berkuasa menyedarkan orang ramai mengenai penipuan yang dilakukan ‘scammer’ agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang taktik kumpulan penjenayah berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|