
Kota Kinabalu: Senarai barisan hadapan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selepas gabungan itu berjaya didaftarkan.
Perkara itu dimaklumkan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang menyatakan usaha mendaftarkan GRS sedang dilakukan ketika ini.
“Saya fikir Datuk Seri Hajiji akan umumkan setelah ia didaftarkan, saya dengar ia sudah dihantar (untuk pendaftaran).
“Perkara itu sudah dibincangkan secara dalaman antara kami dan biarlah beliau umumkan barisan hadapan kepimpinan GRS,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-37 PBS di Dewan Hakka, Likas, di sini, malam tadi.
Hadir sama pada majlis itu ialah Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Naib Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai.
Mengulas lanjut, Maximus berkata, PBS akan terus menyokong penuh GRS namun pada masa sama mengambil pendirian tidak tergesa-gesa untuk menerima parti baharu dalam gabungan itu.
“Kunci utamanya adalah perkukuhkan barisan hadapan dan rakan kongsi sedia ada. Jangan buang masa untuk mendapatkan rakan baharu yang tidak diketahui,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas berhubung hasrat bekas Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN) Datuk Peter Anthony yang berhasrat parti baharu pimpinannya, Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyertai GRS.
-Deasoka