Semua blok politik di Sabah perlu diterajui parti tempatan – Ewon

Semua blok politik di Sabah perlu diterajui parti tempatan – Ewon

Penampang: Semua blok politik di Sabah termasuk Pakatan Harapan (PH) atau gabungan yang baru diwujudkan perlu diterajui parti tempatan, kata Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.

Katanya, ia selaras dengan pembentukan negara menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mencakupi aspirasi dan semangat kenegerian yang harus dikekalkan bagi menjayakan proses desentralisasi pentadbiran persekutuan.

“Kita di UPKO mengalu-alukan sebarang pembentukan blok politik di Sabah sama ada yang sedia ada ataupun yang baharu tetapi saya berpendapat semua blok politik ini harus diterajui oleh parti lokal. Ini termasuklah PH Sabah,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tritahunan UPKO Penampang, di sini, semalam.

Beliau berkata, PH Sabah mesti dilihat mempunyai autonomi untuk membuat keputusan dan kepimpinan yang diterajui oleh parti tempatan sesuai dengan semangat MA63.

Jelasnya, keputusan memfailkan saman ke atas kerajaan persekutuan berhubung pemberian khas Sabah pada 3 Jun lalu oleh semua Ahli Parlimen dan ADUN PH Sabah adalah satu keputusan dibuat oleh majlis pimpinan Sabah tanpa merujuk kepada majlis presiden PH.

“Ini kerana hal-hal berkaitan hak-hak Sabah mesti diputuskan di Sabah oleh pemimpin-pemimpin Sabah. Ini menunjukkan PH Sabah mempunyai autonomi membuat keputusan sendiri.

“Untuk PH Sabah bersaing lebih baik dengan blok politik lain, ia mesti menjiwai sentimen dan semangat kenegerian seperti semasa pembentukan negara ini melalui MA63.

“Justeru, wajar untuk PH Sabah diketuai atau diterajui oleh parti lokal. Inilah pandangan saya dan selagi saya menjadi sebahagian daripada kepimpinan UPKO, ini akan terus menjadi pandangan yang saya akan berikan kepada rakan-rakan dalam blok-blok politik,” katanya.

Menurut beliau juga, belum ada blok politik tempatan tulen di Sabah kerana penyertaan dan dominasi parti-parti beribu pejabat di Semenanjung dalam blok-blok politik yang ada termasuklah blok Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga didominasi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ewon turut menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan UPKO menerajui pimpinan blok PH Sabah di beberapa kawasan seperti Penampang, selain peringkat negeri, namun katanya perkara itu perlu diperhalusi pimpinan PH Sabah terlebih dahulu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|