Sembunyi syabu 126 gram dalam kasut, dua lelaki ditahan

Sembunyi syabu 126 gram dalam kasut, dua lelaki ditahan

Beluran: Dua lelaki yang dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah ditahan anggota Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas didapati membawa syabu bernilai RM12,600, semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, kedua-dua lelaki berusia 45 dan 59 tahun terbabit pada awalnya ditahan untuk pemeriksaan ketika melalui operasi sekatan jalan, di Jalan Ladang Perumahan JKR Beluran, di sini.

Dadah syabu bersama kasut yang dirampas.

Bagaimanapun, hasil soal siasat yang dijalankan, salah seorang suspek akhirnya mengaku ada menyimpan dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam kasut.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, suspek menunjukkan sepasang kasut yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan berkenaan.

Dadah syabu yang dirampas anggota Batalion 20 PGA.

Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui tiga paket plastik berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Semua dadah yang dirampas adalah seberat 126 gram dan dianggarkan bernilai RM12,600 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Suspek bagaimanapun mengaku tidak aktif dalam pengedaran dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, kedua-dua suspek terus ditahan dan syabu berkenaan turut dirampas untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati hanya penumpang kenderaan terbabit positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Manakala seorang lagi suspek yang juga pemandu kenderaan berkenaan didapati negatif dadah,” katanya.

Abdul Rani berkata, kedua-dua suspek terus dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|